Varian baharu COVID-19: AS sekat perjalanan ke puluhan negara

20

26 JAN : Amerika Syarikat mengekalkan sekatan perjalanan ke atas puluhan negara di saat penularan varian baharu virus COVID-19 di negara tersebut, selain turut mengekalkan sekatan perjalanan dari 29 negara Zon Schengen di Eropah serta United Kingdom, Ireland dan Brazil termasuk yang terbaru Afrika Selatan.

Perintah eksekutif tersebut dikeluarkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam usaha mencegah penularan virus itu yang kini menjadi ancaman besar di negara itu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) merumuskan langkah-langkah pencegahan berterusan adalah perlu bagi melindungi kesihatan awam, menurut Rumah Putih.

“Dengan pandemik yang semakin buruk dan varian baharu kian menular, ini bukan masanya untuk menghapus sekatan perjalanan antarabangsa,” kata jurucakap Rumah Putih Jen Psaki kepada wartawan.

Sementara itu Biden dalam perintah eksekutifnya berkata “adalah menjadi dasar Pentadbirannya untuk melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam berpandukan aspek sains untuk mencegah penyakit semakin merebak.”  

Sekatan perjalanan itu tertakhluk kepada rakyat asing negara tersenarai dan warga Amerika di luar negara yang mahu memasuki AS perlu diuji negatif virus COVID-19 dalam masa tiga hari sebelum berlepas dan wajib menjalani kuarantin sejurus ketibaan.

Sebelum ini, bekas Presiden Donald Trump menarik balik larangan ketibaan pelancong dari Eropah dan Brazil, dua hari sebelum tempoh pentadbirannya berakhir. Arahan ini dijadual berkuat kuasa pada Selasa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.