Tentera Laut India selamatkan wanita Malaysia

147

26 JAN: Tentera Laut India berjaya menyelamatkan seorang wanita rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan semasa menaiki kapal dagang berdaftar di Singapura, MV Eagle Tampa.

Memetik laporan Bernama, wanita terbabit menghidap penyakit refluks gastroesofagus dan mengalami masalah pernafasan ketika kapal tersebut berada di luar pesisir pantai Mumbai.

Dia dipindahkan dari kapal dagang tersebut kira-kira 18 batu nautika dari pantai Mumbai pada Khamis lalu dan seterusnya dibawa dengan helikopter Tentera Laut India ke kapal INS Shikra.

india
Wanita rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan di sebuah kapal dagang berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut India.

Memetik laporan ANI, sebelum itu, anggota-anggota Tentera Laut India cuba menyelamatkan wanita berkenaan dengan bot kecil namun usaha itu tidak berjaya.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India memberitahu, wanita itu sedang dirawat di sebuah hospital di Mumbai dan keadaannya beransur pulih.

“Ahli keluarganya di Malaysia sudah dimaklumkan mengenai keadaan terkini. Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai sentiasa berhubung dengan pihak hospital dan memantau perkembangan dan memberikan bantuan konsular yang diperlukan,” kata Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Pihak suruhanjaya turut merakamkan penghargaan atas bantuan yang diberikan Tentera Laut India kepada pesakit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.