SOP ketat cegah penularan COVID-19 di tapak

23

26 JAN: Kerajaan mungkin mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengelakkan penularan di tapak.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, garis panduan yang jelas mengenai perancangan geospatial seperti menyatakan kuantiti tetapan dalaman pada masa tertentu juga bakal diperkenalkan.

“Selain itu, kita boleh meningkatkan pengujian bersasar serta mengawal selia kos kit ujian RTK-Antigen bagi menjadikan ujian COVID-19 lebih murah dan boleh dilakukan dengan lebih meluas terutamanya bagi industri,” kata MITI dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata demikian susulan gesaan agar kerajaan mengenakan semula sekatan pergerakan sepenuhnya bagi menangani lonjakan tinggi kes jangkitan di negara ini.

Menurut MITI, sebarang tindakan yang diambil perlu dilihat bersama cadangan lain mengenai strategi dan pilihan alternatif.

MITI juga mencadangkan SOP bagi majlis sosial diperketatkan manakala larangan penuh bagi perjalanan antara negeri perlu dilaksanakan buat sementara waktu.

Pada masa yang sama, MITI menggesa perniagaan terus dibuka dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP ketat.

Kementerian itu menegaskan penglibatan dan pemerkasaan masyarakat adalah penting dalam memerangi COVID-19 kerana pandemik itu bermula dan menular dalam masyarakat, dan penyelesaiannya adalah dalam masyarakat itu sendiri menerusi tingkah laku, penyesuaian diri dan pematuhan mereka.

Sementara itu, ia juga menghargai sokongan padu dan kerjasama pemegang kepentingan industri dan rakyat bagi memastikan pemulihan dan kemampanan ekonomi di tengah-tengah penularan mengganas COVID-19.

Jelas MITI, sinergi Awam-Swasta-Rakyat adalah satu nilai yang paling berharga bagi pembinaan negara dan boleh diterima oleh semua pihak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.