Polis tetapkan peraturan pergerakan bawa pedati Thaipusam

58

26 JAN : Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya meletakkan syarat yang ketat berhubung pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman Jalan Tun H.S.Lee ibu negara ke Kuil Sri Subramaniaswamy, Batu Caves, Selangor.

Justeru, beliau berharap pihak yang berkenaan akan mematuhi segala prosedur operasi standar (SOP) dan syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak timbul sebarang masalah pada hari itu.

“Syarat ketat pertama yang perlu dipatuhi pihak berkenaan adalah, hanya 10 petugas sahaja dibenarkan mengiringi pergerakan pedati, iaitu lima Ahli Jawatankuasa kuil serta lima petugas dan pergerakan pedati tidak boleh berhenti di mana-mana lokasi sepanjang perjalanan.

“Syarat kedua ialah tiada sebarang peralatan gendang dan tiupan alat muzik dibenarkan. Syarat ketiga pula adalah tiada sebarang perniagaan sepanjang jalan antara Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee ke kuil Sri Subramaniaswamy, Batu Caves dibenarkan, kecuali yang telah mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“Pedati berkenaan hanya akan dibenarkan bergerak mulai jam 3 pagi hingga 6 pagi pada 27 Januari ini dan akan bergerak kembali ke kuil berkenaan dari Batu Caves pada Jumaat 29 Januari nanti,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, pihak polis juga menurut Hamid, akan melakukan pemantauan rapi  terhadap pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman Jalan Tun H.S.Lee ibu negara ke Kuil Sri Subramaniaswamy, Batu Caves, Selangor.

“Kita akan memantau perjalanan pergi balik pedati berkenaan dan bersedia untuk mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang ingar arahan atau melanggar SOP ketat yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu Abdul Hamid mengingatkan orang ramai supaya patuh pada arah yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kesulitan dan diambil tindakan undang-undang.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan MKN bersetuju membenarkan pergerakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan untuk sambutan Hari Thaipusam, 28 Januari ini.

Bagaimanapun, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata pergerakan itu perlu mengikut syarat dan mematuhi SOP ketat ditetapkan MKN dan Dewan Bandar Kuala Lumpur (DBKL) termasuk tidak boleh berhenti di mana-mana, pengikut tidak lebih daripada 10 orang, tiada muzik dan lain-lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.