PERMAI: Kesan fiskal minimum kepada negara

25

26 JAN: Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dijangka memberikan kesan fiskal minimum kepada negara dan pada masa yang sama, kerajaan tidak bercadang meningkatkan had statutori hutang melebihi 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Zakiah Jaafar berkata, kerajaan masih komited untuk mengekalkan sasaran defisit fiskal pada tahun ini sebanyak 5.4 peratus kepada KDNK.

“Kita masih pada awal tahun, jadi kita masih boleh membuat penjajaran semula perbelanjaan kerajaan berdasarkan keutamaan semasa dan melalui amalan perbelanjaan yang lebih berhemat.

“Yang penting, keutamaan kerajaan ialah untuk memastikan perbelanjaan mengikut had yang ditetapkan, pemantauan yang ketat dan pemberian peruntukan sampai kepada kumpulan sasar,” katanya dalam program Ruang Bicara mengenai PERMAI terbitan Bernama TV malam tadi.

Menurut beliau, memandangkan negara masih berbelanja mengikut sasaran, justeru, dengan pengenalan pakej PERMAI, paras hutang kerajaan persekutuan dijangka kekal terurus dan tidak melebihi had yang ditetapkan.

Dari segi impak kepada pertumbuhan ekonomi, beliau tidak menafikan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua ini akan memberi kesan kepada unjuran pertumbuhan pada tahun ini.

“Bagaimanapun, kesannya dijangka lebih kecil berbanding PKP sebelum ini memandangkan hampir keseluruhan sektor ekonomi dapat beroperasi serta adanya pakej bantuan PERMAI yang disediakan bagi melengkapi inisiatif pakej rangsangan yang lepas.

“Pada masa yang sama, terdapat faktor positif yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi kita pada tahun ini termasuk harga minyak yang lebih tinggi sekitar US$50-US$55 setong berbanding US$43 setong tahun lepas,” jelasnya.

Zakiah memberitahu, harga minyak juga dijangka akan terus stabil selari dengan trend permintaan serta jangkaan pemulihan ekonomi.

Selain itu, beliau menambah, eksport negara juga telah kembali kepada trend berikutan pemulihan perdagangan dengan rakan dagang utama.

Jelas Zakiah, program suntikan vaksin yang dijangka bermula pada Mac depan untuk peringkat pertama, Mei untuk peringkat kedua dan September bagi peringkat ketiga akan turut membantu ke arah pemulihan aktiviti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.