Mobilasi sumber bantu agensi kawal penularan COVID-19

19

26 JAN: Kerajaan akan melaksanakan mobilasi sumber perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri bagi membantu agensi yang memerlukan perkhidmatan mendesak untuk mengawal penularan COVID-19.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata langkan berkenaan termasuklah dengan melakukan penjajaran sementara kakitangan awam ke tempat yang memerlukan tambahan kakitangan, terutama bagi perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.

Mohd Zuki berkata kerajaan juga akan mengoptimumkan aset seperti kenderaan jabatan boleh dikongsi untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan terselaras.

“Bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian akan dikenalpasti di seluruh negara bagi tujuan pusat pengambilan ujian calitan dan Jabatan Perkhidmatan Awam bertanggungjawab menyelaras perkara ini bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan kementerian, jabatan, agensi lain terbabit.

“Justeru, Jabatan Perkhidmatan Awam akan bertanggungjawab menyelaras perkara ini bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian/Jabatan/Agensi lain yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata kerajaan juga akan meningkatkan integrasi keupayaan Perkhidmatan Hospital Sektor Awam dan swasta dalam tempoh darurat bagi memastikan koordinasi yang sistematik agar jaminan akses kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu dapat dilaksanakan bagi pesakit COVID-19 serta bukan COVID-19.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengoptimakan sumber kesihatan dan kepakaran yang ada untuk tujuan perawatan pesakit sewaktu pandemik COVID-19;

Katanya, pengoperasian hospital awam termasuk Hospital Universiti, Hospital Angkatan Tentera dan Hospital Swasta akan diletakkan secara hibrid berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawahPusat Kawalan COVID-19 Bersepadu;

“Kerajaan juga akan mengoptimakan kapasiti makmal sedia ada terutamanya di jabatan kerajaan dan universiti awam bagi tujuan pengujian serta pengesanan COVID -19 secara berskala besar.

“Kerajaan juga akan melaksanakan mobilisasi lain-lain sumber perubatan seperti peralatan, PPE, ubat-ubatan adalah mengikut keperluan hospital terutamanya bagi perkhidmatan kesihatan umum termasuklah memobilisasi anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam,” katanya.

Beliau berkata mekanisme pembiayaan pesakit COVID-19 oleh pihak insurans di hospital swasta sedang diperhalusi oleh KKM, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan pemain industri insurans.

“Buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit COVID-19 yang mampu membiaya sendiri kos perubatan dan rawatan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.