Kluster lapor pertambahan kes meningkat berbanding semalam

104

26 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tujuh lagi kluster baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, termasuk tiga kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, masing-masing satu membabitkan pusat tahanan dan satu lagi kluster keagamaan.

Tiga kluster membabitkan kluster tempat kerja ialah Kluster Jalan Cochrane, Kuala Lumpur; Kluster Jalan Platinum, Johor dan Intan Delima, di Negeri Sembilan; dua kluster komuniti ialah Kluster Jalan Padi Mahsuri, Johor dan Kluster Kampung Bukit Putera,Terengganu, manakala kluster keagamaan di Keladi Saga, Kedah dan kluster Tembok Bukit Besi, Terengganu (pusat tahanan).  

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan kluster COVID-19 kini menjadi 753 kluster termasuk 397 kluster tamat (termasuk dua pada hari ini iaitu Kluster Teguli dan Kluster Desa Pinang) dan 356 kluster masih aktif.

Manakala, jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 95 kluster di mana empat kluster melaporkan kes tertinggi iaitu Kluster Pasai (111 kes), Kluster Seri Bayu (61 kes), dan Kluster Jalan Platinum (33 kes).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata menyambut baik pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, hari ini Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan integrasi Perkhidmatan Hospital Sektor Awam dan Swasta dalam tempoh darurat.

Beliau berkata tindakan berkenaan perlu bagi memastikan koordinasi yang sistematik dan jaminan akses kesihatan yang menyeluruh serta bersepadu dapat dilaksanakan untuk pesakit COVID-19 dan juga bukan COVID-19.

“Pendekatan utama yang telah dikenal pasti adalah dengan meletakkan hospital awam (hospital-hospital di bawah KKM, hospital universiti awam, dan hospital angkatan tentera) dan hospital swasta di bawah pengoperasian secara hibrid, berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan COVID-19 Bersepadu.

“Hospital Kluster ini akan beroperasi untuk merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 mengikut arahan yang akan dikeluarkan oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malah, Dr Noor Hisham berkata sehingga 25 Januari 2021, terdapat 210 hospital swasta berlesen, di mana 129 hospital swasta menawarkan perkhidmatan pesakit dalam (inpatient) bagi bidang Perubatan Dalaman (internal medicine).

“Daripada jumlah tersebut, 96 hospital swasta telah bersetuju untuk menyediakan rawatan COVID-19 di mana jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil ICU, dan 54 mesin ventilator.

“Justeru, kerajaan akan mengoptimakan kapasiti makmal sedia ada terutamanya di Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Universiti Awam bagi tujuan pengujian dan pengesanan COVID-19 secara berskala besar.

“Di samping itu, bangunan Kerajaan yang sesuai akan dikenalpasti di negeri/ daerah sebagai pusat pengambilan ujian swab. Mobilisasi aset seperti kenderaan juga akan diselaraskan untuk perkhidmatan kesihatan umum agar lebih bersepadu dan teratur.

“Sumber perubatan seperti peralatan, peralatan perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan pula akan dimobilisasikan mengikut keperluan hospital terutamanya bagi perkhidmatan kesihatan umum termasuklah memobilisasikan anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.