Kes sembuh terus meningkat,kadar kematian membimbangkan

34

26 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 3,585 kes baharu COVID-19 dengan 11 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa bilangan kes sembuh terus mengatasi jangkitan baharu dengan 4,076 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif individu sembuh sepenuhnya sehingga hari ini adalah 149,160 kes atau 78.3 peratus.

Dr Noor Hisham berkata daripata 3,585 kes baharu berkenaan, sebanyak 3,053 kes atau 85.2 peratus adalah membabitkan jangkitan dalam kalangan warganegara, manakala 14.8 peratus atau 530 kes membabitkan warga asing, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia menjadi 190,434 kes.

“Ketika ini terdapat 40,574 kes aktif COVID-19 di Malaysia termasuk 280 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU); 111 memerlukan bantuan pernafasan dan 11 kes kematian baru hari ini.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,295 kes (36.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 948 kes (73.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 610 kes (17.0 peratus), dan Johor sebanyak 516 kes (14.4 peratus),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 59 kes (1.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

Ini termasuklah membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (24 kes), Kluster Tembok Renggam (12 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (7 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (6 kes), Kluster Tembok Kemus (4 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Tembok Taiping (1 kes), Kluster Tembok Mempaga (1 kes), dan Kluster Telok Mas (1 kes).

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat (4) kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tiga (3) kes dari Sarawak, dan masing-masing satu (1) kes dari Perak, Johor, Selangor dan  Pulau Pinang.

“Sebanyak 10 kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara dan satu (1) kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.