Ebit Lew hantar bantuan asas kepada rakyat Sabah

47

26 JAN: Pendakwah bebas dan dermawan, Ustaz Ebit Lew bercadang menghantar bantuan 1,000 set makanan, 100 kerusi roda dan 75,000 keping pelitup muka untuk keperluan penduduk di Sabah.

Beliau juga dijangka menyerahkan 200 unit tablet Samsung Tab kepada pelajar memerlukan bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) di negeri tersebut.

Berikutan itu, Ebit meminta semua pihak mendoakan semoga segala urusan dan perjalanannya ke Sabah, pada Khamis ini dipermudahkan.

“Doakan yer. Misi bantuan ke Sabah. Saya bawa 1000 set makanan, 100 kerusi roda, 75 ribu pcs mask, 200 Samsung Tab bagi kegunaan pelajar disana yang benar-benar memerlukan,” dalam satu perkongsian beliau menerusi laman Facebooknya di sini sebentar tadi.

Beliau juga turut berkongsi beberapa keping gambar pelbagai barangan keperluan harian yang akan dihantar ke Sabah, tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Ebit juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa syarikat swasta yang menaja usahanya menghantar pelbagai barangan ke Sabah termasuk MyJet, Zen Aviation, KLIA Kargo Airport dan Malaysia Airlines Bhd (MAB).

“Terima kasih terharu sangat dengan My Jet dan Zen Aviation sponsor kapal untuk kami. Semoga Allah tambah rezeki buat MyJet. Terima kasih KLIA Kargo Airport yang beri caj percuma. Baik sangat semua.

“Saya hantar barang dulu. Flight saya dijadualkan lusa dengan MAS Airlines. Terima kasih tak terhingga juga Mas Airlines beri harga istimewa buat team kami. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.

Sebelum ini, Ebit Lew mendedahkan bahawa beliau menerima 43,000 mesej atau lebih tepat 43,000 individu yang memerlukan kelengkapan gajet seperti tablet dan telefon bimbit bagi keperluan kaedah PdPR

Menurutnya, permohonan itu datangnya dalam kalangan mereka yang kurang upaya (OKU), tiada pekerjaan, anak yatim piatu termasuk keluarga kurang mampu. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.