Cubaan seludup 61 tan ayam sejuk beku tumpas

33

26 JAN: Cubaan menyeludup masuk lebih 61 tan ayam sejuk beku dianggar bernilai RM495,608 dari Thailand ke Malaysia, berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), kelmarin.

Kegiatan berkenaan terbongkar selepas sebuah lori yang membawa muatan ayam yang sudah dipotong kepada lebih 5,000 bahagian itu ditahan selepas cuba melepasi pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kira-kira jam 4 petang.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul, berkata pemeriksaan mendapati keratan ayam itu cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import dan dipercayai dibawa dari pusat penyembelihan tidak diiktiraf serta meragukan.

“Kegagalan mengemukakan maklumat berkenaan adalah kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pada kira-kira jam 6 petang di lokasi sama, MAQIS turut merampas 191 botol benih cendawan dan sembilan bungkus sosej dianggarkan bernilai RM854 selepas lori yang ditahan gagal mengemukakan permit import sah.

Lily berkata, MAQIS tidak akan memandang mudah terhadap perkara ini dan sentiasa komited memastikan keluaran pertanian diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar bagi memastikan sektor pertanian negara tidak terjejas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.