Belum ada laporan laman sesawang kerajaan digodam-PDRM

42

26 JAN : Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam selepas ancaman dibuat kumpulan penggodam Anonymous Malaysia.

Berikutan ancaman itu, beliau menegaskan Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.

“Sekiranya tindakan penggodaman tersebut dilakukan dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara, siasatan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sehingga 15 tahun.

“Siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” ujarnya,

Beliau juga mengharapkan orang ramai untuk memberikan sokongan dan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penggodaman.

“Masalah kebocoran maklumat serta penggodaman sistem kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa kerana ia mempunyai kesan terhadap rakyat dan negara ini. Sama-samalah kita berganding bahu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara ini terus terpelihara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM sedar dan mengambil serius dengan ancaman kumpulan penggodam terbabit.

Kumpulan penggodam itu membuat ancaman menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial baru-baru ini.

Antara dakwaan “Anonymous Malaysia” ialah sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam hingga hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.