3 sekolah di Terengganu tutup, kakitangan positif

27

26 JAN: Jabatan Kesihatan Terengganu mengarahkan tiga lagi sekolah rendah di negeri ini ditutup selama tujuh hari mulai semalam berikutan kakitangannya disahkan positif COVID-19.

Tiga sekolah berkenaan termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan SK Cabang Tiga di Kuala Terengganu serta SK Bukit Apit di Hulu Terengganu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata tiga sekolah berkenaan diarah tutup bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan selepas Jabatan Kesihatan Terengganu mengesan kes positif COVID-19 membabitkan tiga kakitangan sekolah berkenaan, pada Rabu lalu.

Berikutan itu, Dr Nor Azimi berkata pihaknya sudah mengeluarkan surat penutupan tiga sekolah rendah itu kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit.

“Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342 dan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 24 (a) akta sama boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Dengan notis terbaru itu, sebanyak 15 sekolah rendah iaitu masing-masing 14 di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Hulu Terengganu ditutup setakat ini susulan kes positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.