2.8 juta rakyat hilang kerja kalau PKP 2.0 diteruskan

311

26 JAN: Kira-kira 2.8 juta rakyat berdepan risiko hilang pekerjaan sekiranya kerajaan memutuskan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat selepas 4 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, kira-kira 2.5 juta pekerja lagi mungkin terjejas pendapatan terutamanya golongan B40 termasuk peniaga kecil dan pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian.

Selain itu, semua keluarga B40 akan mengalami kehilangan pendapatan keseluruhan RM6.45 bilion sebulan dengan purata RM2,400 setiap keluarga.

Menurut beliau, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga melaporkan sebanyak 13,445 syarikat telah menutup operasi sepanjang tempoh PKP 1.0 tahun lalu sehingga menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Rakyat semakin susah, sebab itu kerajaan sebelum buat keputusan kita pertimbangkan keperluan antara jaga kesihatan dan jaga ekonomi.

“Sebelum sampai tempoh 4 Februari, kerajaan akan berbincang dari segi kesan yang akan timbul jika sekatan sepenuhnya dilaksanakan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri mengulas tentang pelbagai reaksi yang timbul dalam kalangan orang ramai berikutan pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang membayangkan PKP tidak akan diteruskan selepas 4 Februari dan disambung dengan PKP Bersyarat (PKPB).

Tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menularkan khabar angin PKP dengan SOP lebih ketat telah menyebabkan berlaku pembelian panik di seluruh negara baru-baru ini.

Beliau mengambil maklum pandangan yang meminta kerajaan melaksanakan PKP yang lebih ketat seperti tahun lalu bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal.

Ismail Sabri juga memahami kebimbangan golongan yang lain seperti peniaga kecil dan pekerja bergaji harian sekiranya PKP diteruskan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pengumuman berhubung PKP akan dibuat setelah keputusan dicapai oleh sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.