UMNO Kuala Kangsar nafi terlibat, buat laporan polis

93

25 JAN : UMNO Bahagian Kuala Kangsar menafikan pihaknya terlibat berhubung kain rentang yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO yang mengaitkan nama UMNO bahagian tersebut.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang diketuai oleh Maslin Sham Razman bersama beberapa Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian itu membuat satu laporan polis di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar hari ini.

Menurut Maslin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan, perbuatan tersebut merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana mengaitkan nama UMNO Kuala Kangsar di mana ia boleh memberi kesan kepada perpaduan ahli bukan sahaja di bahagian itu, tetapi juga kepada ahli UMNO di seluruh negara.

“Saya berharap agar pihak polis dapat membuat siasatan dan mengenal pasti siapa dalang yang melakukan perbuatan itu yang mengaitkan nama UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

“UMNO Bahagian Kuala Kangsar menafikan terbabit dalam perbuatan menggantung kain rentang tersebut dan menyifatkan ia satu perbuatan keji bertujuan merosakkan perpaduan sesama ahli UMNO,” tegasnya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Katanya lagi, dua kain rentang berwarna merah itu yang tertera perkataan ‘Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi mohon letak jawatan Presiden UMNO’ dan tertulis UMNO Bahagian Kuala Kangsar berserta logo parti itu di pasang di Taman Lavender dan Jalan Daeng Selili iaitu kawasan UMNO bahagian Padang Rengas, bukan di kawasan UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

Ahad lalu, UMNO Bahagian Tanjung Malim juga membuat laporan polis berhubung di IPD Muallim di Slim River berhubung kain rentang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dengan mengaitkan nama bahagian terbabit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.