Setahun lawan COVID-19, belum nampak pengakhiran

42

25 JAN: Selepas setahun berlalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abbdullah, mengingatkan bahawa semua orang perlu memikul tanggungjawab bersama demi menyelamatkan Malaysia dari terus dihantui oleh wabak COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata sesungguhnya perkara paling menyentuh hatinya dan menyedihkan hari ini adalah kerana sudah setahun petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarung melawan COVID-19 tanpa rasa putus asa.

Beliau berkata, biarpun mengakui petugas barisan hadapan KKM kini mengalami keletihan mental dan fizikal namun mereka perlu terus berusaha dan bekerja keras bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

“Sungguhnya perkara menyentuh hati saya bahawa kami telah bertahan selama setahun bertarung melawan COVID-19 biarpun pengakhirannya belum lagi kelihatan.

“Walaupun keletihan mental dan fizikal, kita semua perlu terus maju. Semua orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita,” katanya dalam ciapan Twitter sempena genap setahun kes pertama penularan COVID-19 dikesan di Malaysia, pada 25 Januari 2020.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham merayu seluruh rakyat Malaysia supaya dapat bersama-sama dengan kerajaan dan KKM untuk melandaikan semula lekuk penularan wabak COVID-19 yang kini mencecah lebih 3,000 kes baharu sehari.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memakaik topeng muka dengan betul, sentiasa mencuci tangan, menjaga jarak sosial serta duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Patuhi SOP, pakai topeng muka dengan betul, cuci tangan, dan jaga jarak fizikal. Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah mendesak di luar. Bersama-sama kita dapat memutuskan rantai transmisi COVID-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama perjuangan akan berterusan insya-Allah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.