Rayuan 16 bekas ahli minta bubar UMNO ditangguh

444

25 JAN: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran rayuan 16 bekas ahli UMNO hari ini ke tarikh yang lain.

Penangguhan tersebut adalah untuk membolehkan panel yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed mendengar hujahan lanjut mengenai beberapa isu.

Isu yang pertama adalah berkaitan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 iaitu kuasa mendaftar dan membatalkan sebuah pertubuhan adalah di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan bukannya mahkamah.

Selain itu, isu yang kedua adalah ketiadaan locus standi 16 orang bekas ahli UMNO untuk membawa kes itu ke mahkamah kerana mereka bukan lagi ahli parti.

Perlembagaan UMNO menyatakan keahlian gugur secara automatik jika ahli membawa sebarang kes melibatkan parti ke mahkamah.

Sementara itu, peguam yang mewakili UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menyatakan tindakan yang diambil oleh bekas-bekas ahli UMNO tersebut bersifat akademik.

Menurut beliau, UMNO telah mengadakan pemilihan parti pada 30 Jun 2018, beberapa bulan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman tersebut.

Peguam yang mewakili RoS yang juga peguam kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berpendapat bahawa semakan kehakiman itu adalah ‘helah’ untuk mengelakkan Seksyen 18C dan mencabar keputusan UMNO.

Dalam prosiding melalui aplikasi Zoom itu, 16 bekas ahli UMNO terbabit diwakili oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman oleh 16 bekas ahli UMNO terbabit terhadap RoS.

Semakan itu adalah untuk meminta RoS membatalkan keputusannya pada Mac 2018 bagi membolehkan UMNO melanjutkan pemilihan partinya sehingga April 2019, untuk menyiasat aduan yang dibuat dan menjawabnya, serta pembubaran parti itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan adalah terpakai di mana ahli tidak boleh membawa masalah parti ke mahkamah.

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan berkenaan, menyebabkan 16 bekas ahli UMNO itu mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.