PKPD Penjara Taiping mula esok, 43 kes positif

31

25 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan bermula esok hingga 8 Februari depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut beliau, ia susulan peningkatan kes positif COVID-19 di dua lokasi terbabit berdasarkan laporan terkini KKM.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Hingga kelmarin, sebanyak 43 kes positif COVID-19 direkodkan, membabitkan 40 tahanan dan tiga kakitangan penjara.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Penjara Taiping dan kuarters kakitangan.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terbabit serta memastikan tiada jangkitan dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara berkenaan sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPD,” katanya.

Sementara itu, berhubung Task Force Operasi Pematuhan, Ismail memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 717 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 642 individu dikompaun manakala 74 orang pula direman serta seorang direman.

“Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (117), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (68), tiada penjarakan fizikal (235), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (96), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (73) dan lain-lain (128).

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan. Kawalan Sempadan Negara,” katanya.

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 10 buah kenderaan darat.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 5,297 pekerja warga asing, semalam telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 55 orang disahkan positif COVID-19.

“Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember 2020, seramai 210,613 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 8,096 majikan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 4,151 telah disahkan positif COVID-19 manakala 206,462 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 861 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.

“Ia selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, WP Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.