Perarakan Pedati Perak tahun ini hanya disertai 10 orang

27

25 JAN : Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Tan Sri R. Nadarajah berkata, perarakan Pedati Perak kuil tersebut hanya akan disertai oleh 10 orang yang terdiri daripada pemandu, penjaga wayar kabel, penjaga lampu pedati, sami kuil dan 5 ahli jawatankuasa kuil.

Menurut beliau, perarakan itu, yang bermula pada 1983, lazimnya disertai 100,000 penganut Hindu dan mengambil masa kira-kira 16 jam namun kali ini, pergerakannya lebih pantas serta dijangka berakhir dalam tempoh tiga jam tanpa berhenti di mana-mana lokasi.

“Buat julung kalinya, perarakan Pedati Perak Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves setinggi 42.7 meter itu akan bergerak dengan 10 peserta sahaja tanpa melibatkan orang awam sempena sambutan perayaan Thaipusam tahun ini susulan penularan pandemik COVID-19.

Pedati Perak yang membawa arca Dewa Murugan dan dua isterinya iaitu Dewi Valli dan Devi Theivanai akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee di sini pada 2.30 pagi 27 Jan selepas upacara sembahyang.

“Ia akan bergerak ke Batu Caves tanpa alunan muzik tradisional dan tidak akan berhenti di mana-mana lokasi selain dikawal ketat polis.

“Pedati dijangka sampai ke Batu Caves pada 5.30 hingga 6.00 pagi hari yang sama. Ia akan berlepas kembali ke Kuil Sri Maha Mariamman pada 2.30 pagi 29 Jan,” ujarnya.

Pihaknya menurut Nadarajah, akan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sepanjang pergerakan pedati dan pada hari sambutan.

“Saya berharap penganut memahami situasi negara yang kini berdepan ancaman pandemik COVID-19 dan saya meminta penganut Hindu supaya tidak menyertai perarakan itu atau hadir ke kuil pada hari Thaipusam yang akan disambut pada 28 Jan ini,” katanya lagi.

Thaipusam merupakan perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat iaitu Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.