NUTP cadang selaraskan jadual PdPR di semua sekolah

38

25 JAN : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mendapati ada sekolah yang memaksa guru untuk mengajar dari pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang yang melebihi waktu rasmi sesi pembelajaran tamat iaitu 2.30 petang.

Justeru, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock mencadangkan agar jadual keberadaan pelajar di dalam kelas dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diselaraskan di semua sekolah seluruh negara.

“Pelaksanaan itu penting bagi mengelak guru dan pelajar hilang fokus dan tenaga akibat sesi yang terlalu lama selain menjamin kualiti PdP.

“Masa yang terlalu lama di sekolah akan melemahkan semangat serta minat pelajar untuk membuat persediaan bagi menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) kelak, begitu juga dengan guru yang telah bertungkus-lumus menyedia dan mengajar secara PdPR sebelum ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Tan lagi, daya tahan kesihatan guru dan pelajar juga dikhuatiri terjejas kerana berada di dalam kelas dalam tempoh lama tanpa melakukan aktiviti riadah yang dapat menguatkan ketahanan dan imunisasi badan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“NUTP juga meminta agar Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula aspek keselamatan guru yang mengajar pelajar calon peperiksaan utama seperti SPM dan STPM yang menjalani sesi persekolahan secara bersemuka.

“KPM juga perlu menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka dan baju ‘overcoat’, mengikut prosedur operasi standard ditetapkan agar keselamatan dan kesihatan guru lebih terjamin,” ujarnya.

Tan juga meminta pihak berkaitan lebih peka dengan situasi COVID-19 dan tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang boleh mengundang risiko jangkitan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.