MySejahtera Vaccination akan dilancarkan akhir bulan ini

52

25 JAN : Ketua Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan Kementerian Kesihatan, Dr A Maheshwaran Roa berkata, aplikasi My Sejahtera akan dinaik taraf dengan beberapa perincian baharu antaranya ialah MySejahtera Vaccination yang bakal dilancarkan akhir bulan ini.

Menurut beliau, perincian baharu MySejahtera Vaccination itu diwujudkan bagi memastikan proses vaksinasi dapat dikendalikan dengan lancar.

“Kita sarankan orang awam yang belum memuat turun aplikasi MySejahtera bolehlah berbuat demikian supaya apabila tiba pelaksanaan program vaksinasi kelak, ia dapat dijalankan dengan lancar.

“Orang awam dapat mengetahui rangkaian proses seperti pendaftaran, jadual suntikan vaksin dan pemantauan akan dilaksanakan menerusi aplikasi berkenaan.

“Selain daripada itu, aplikasi ini dapat membantu mengendalikan proses pengesanan kontak dan penilaian kendiri dalam kalangan pesakit COVID-19, sekali gus memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa terjamin.

“Bagi mereka yang positif, setiap maklum balas daripada laporan kendiri ini akan dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi pemantauan harian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam takimat media secara maya hari ini..

Setakat ini, aplikasi MySejahtera yang dimuat turun oleh 27,313,193 (lebih 27.13 juta) pengguna termasuk tanggungan ketika ini ialah versi 1.25 dan akan dikemas kini dengan menerusi versi baharu, iaitu 1.26 selari langkah dalam usaha memantapkan aplikasi tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.