Lelaki cuba bunuh diri selepas disahkan positif COVID-19

107

25 JAN: Seorang lelaki cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 sebuah flat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, kelmarin selepas dirinya didapati positif COVID-19. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai kejadian itu menyebabkan mangsa seorang warga tempatan berusia 57 tahun itu kini cedera parah dan koma di hospital.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima panggilan sekitar jam 4.30 petang di Pusat Kawalan IPD Sentul menerusi MERS 999 memaklumkan mangsa dijumpai orang awam dalam keadaan terbaring dan cedera parah di lantai tingkat bawah flat

“Pegawai perubatan yang bertugas telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan mangsa mengalami cedera di kepala, paru-paru, perut serta patah tangan dan kaki.

“Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur akibat mengalami kecederaan yang kritikal dan terlantar dalam keadaan koma,” katanya, hari ini. 

Dalam pada itu, Eng Lai memberitahu pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca mangsa cuba membunuh diri dan ahli keluarganya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Polis menemui nota yang ditinggalkan pada badan mangsa sebelum mendapati nota itu menyatakan dia positif Covid-19 sebelum terjun membunuh diri.

“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri,”katanya.

Sementara itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan persekitaran hingga mendatangkan bahaya kepada nyawa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.