Komuniti perniagaan mesti laksana SOP lebih ketat

42

25 JAN: Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (Eurocham Malaysia) meminta komuniti perniagaan harus memandang serius terhadap laporan media mengenai kluster COVID-19 yang dikaitkan dengan kilang, tapak pembinaan dan kawasan tempat kerja lain.

Pengerusinya, Oliver Roche berkata, komuniti perniagaan juga perlu memainkan peranan bagi menangani penularan COVID-19.

“Apa yang penting, mereka (komuniti perniagaan) harus memainkan peranan mereka dengan melabur dalam bantuan sumber bagi melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat untuk mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya yang akan mengakibatkan aktiviti ekonomi ditutup,” katanya.

Eurocham Malaysia yang ditugaskan sebagai pusat perhubungan utama bagi komuniti perniagaan Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia telah bekerja rapat dengan kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak awal pandemik yang bermula pada tahun 2020 sehingga kini.

Berhubung surat edaran dalaman Eurocham Malaysia yang tular, Roche menjelaskan, ia dihantar kepada semua ahli bagi menyampaikan intipati tidak rasmi dan usaha kerajaan Malaysia untuk menangani COVID-19.

“Intipati perbincangan tidak rasmi itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan penting dalam meratakan keluk COVID-19 dan kesan ekonomi jika kita semua tidak memainkan peranan aktif.

“Surat itu yang telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak itu berkali-kali menyatakan peranan semua pihak amat diperlukan untuk memutuskan rantaian pandemik,” ujarnya.

Roche memberitahu, penekanan MITI adalah merujuk kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang menuntut peranan semua bagaimanapun tidak disebut mengenai PKP sepenuhnya selepas 4 Februari, 2021.

“Sehubungan itu, kami berusaha supaya orang ramai kekal fokus, memainkan peranan bagi memastikan tidak berlaku PKP sepenuhnya sama seperti tahun lepas.

“Dalam masa yang mencabar ini, kami menghargai hubungan baik dengan kerajaan Malaysia, khususnya MITI dan kami berpendapat kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam menangani pandemik itu sejak tahun 2020,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.