Kes pulih terus meningkat berbanding kes jangkitan baharu

38

25 JAN: Malaysia mencatatkan kes pulih sepenuhnya sebanyak 3,638 kes memperlihatkan kes pulih kini meningkat lebih tinggi berbanding kes baharu COVID-19 (3,048 kes) untuk tempoh tiga hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 3,638 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini 145,084 kes.

Katanya, bagi kes baharu pula, sebanyak 3,048 kes dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini ialah 186,849 kes.

“Selangor kekal mencatatkan kes baharu tertinggi hari ini iaitu 1,035 kes diikuti Johor dengan 529 kes serta Sabah sebanyak 348 kes.

“Sehingga kini seramai 261 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 101 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 11 kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 689 kes.

Berikutan penurunan kes harian, Dr Noor Hisham berkata pihaknya menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan selama empat minggu sahaja.

Noor Hisham berkata, KKM juga dalam masa sama menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan selama tiga bulan untuk memastikan jumlah kes baharu turun ke dua angka.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 95 hospital swasta dikenal pasti bersetuju merawat pesakit COVID-19, setakat hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 73 peratus daripada 130 hospital swasta berkenaan yang mempunyai kepakaran perubatan dalaman dan sedia bekerjasama dengan KKM.

“Kita masih menunggu 26 lagi hospital swasta atau 20 peratus untuk merawat pesakit COVID-19. Sejumlah 95 hospital swasta itu menawarkan 1,286 katil dan 65 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta 54 alat bantuan pernafasan.

“Ini perkembangan baik kerana kita baru mengadakan libat urut pada 23 Januari dan tidak sampai seminggu kita sudah menerima maklum balas yang baik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.