Genap setahun warga KKM lawan COVID-19 tanpa putus asa

72

25 JAN: Semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal komited untuk meneruskan perjuangan tanpa putus asas untuk menentang COVID-19 biarpun hari ini sudah genap setahun mereka berbuat demikian.

Mengimbau kembali kenangan setahun lalu, KKM berkata kes pertama ini membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif COVID-19 di Malaysia itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura dan kemudiannya dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Pasukan COVID-19 Hospital Sungai Buloh, Selangor mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020. Begitu juga beberapa anugerah lain yang KKM terima dalam menguruskan COVID-19.

“Ini semua petanda, KKM telah berada di landasan tepat dalam melawan COVID-19 ini dan berjaya menanggani gelombang pertama dan kedua virus ini pada tahun lepas. Kini semua rakyat Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga COVID-19 sejak penghujung September, tahun lepas.

“Sehingga hari ini, seluruh warga KKM masih lagi komited, kerja tanpa putus asa dalam menghadapi virus COVID-19 ini. Hari ini kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 orang telah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77 peratus) orang telah sembuh daripada virus ini,” kata KKM melalui Facebook hari ini.

Berikutan itu semua warga KKM termasuk kumpulan pengurusan dan petugas barisan hadapan tetap bertugas dan berjuang macam biasa di hospital, klinik kesihatan mahu pun pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) dan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara sekarang.

Kata KKM, Mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan secara virtual bersama dengan semua Pengarah-Pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara juga berlangsung seperti biasa.

“Fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menanggani COVID-19 dan memperkukuhkan 213 COVID-19 Assessment Center, CAC di seluruh negara.

“Doakan agar semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak ini. Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus COVID-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini,” kata KKM. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.