Segerakan pemberian 150,000 komputer riba

64

24 JAN: Pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah perintis perlu disegerakan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran murid di rumah (PdPR) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca-COVID-19.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan berkenaan selari dengan pengumuman dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2021, bahawa kerajaan telah mengisytiharkan pemberian komputer riba kepada seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Menurut beliau, jumlah itu bersamaan tiga peratus daripada anggaran 4.7 juta murid daripada keseluruhan 10,220 buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang bakal menerima komputer riba hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

ASYRAF WAJDI DUSUKI
ASYRAF WAJDI DUSUKI

“Pergerakan Pemuda UMNO berharap Kerajaan dapat segera menyalurkan sumbangan komputer riba ini memandangkan sesi persekolahan melalui kaedah PdPR (Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah) sudahpun bermula.

“Pada masa sama, nasib lebih 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki sebarang peralatan yang bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau laptop harus diberikan perhatian serius,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata Kementerian Pendidikan seharusnya lebih proaktif dan segera menangani pelbagai isu dan kekangan pembelajaran agar tidak berlaku sebarang fenomena keciciran daripada arus pendidikan di kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudahpun masuk tahun kedua ini.

Beliau berkata, Pemuda UMNO juga mencadangkan buat jangka masa pendek ini, diperluaskan siaran TV Pendidikan dengan menukar beberapa saluran TV milik kerajaan kepada TV Pendidikan sepenuhnya sepanjang sekolah ditutup akibat pandemik.

“Justeru, kerajaan seharusnya memanfaatkan kuasa penuh di bawah Ordinan Darurat ketika ini untuk (a) mendesak syarikat konglomerat menyumbang komputer riba kepada murid-murid sekolah dan (b) mengarahkan stesyen TV swasta berbayar seperti ASTRO bagi menyediakan saluran pendidikan dengan pemantauan Kementerian Pendidikan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.