Salah guna permit rentas negeri seludup ketum

30

24 JAN: Tindakan nekad seorang lelaki dipercayai menyalahgunakan surat kebenaran merentas negeri dengan membawa kira-kira 1,000 kilogram daun ketum dari Kedah ke Kelantan membawa padah apabila lori dipandu suspek ditahan ketika cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) Ops COVID-19 di Jalan Jeniang-Sik, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata suspek berusia 29 tahun, berasal dari Bachok itu didapati memandu sendirian dan dalam keadaan mencurigakan ketika cuba melalui sekatan jalan raya berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui 1,000 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM10,000, diisi dalam 100 beg plastik hitam yang disorokkan antara bakul kosong di dalam lori.

“Daun ketum itu dipercayai diambil di Naka, Padang Terap, dan dalam perjalanan dibawa ke Kelantan. Lelaki itu turut menunjukkan surat rentas negeri yang ada cap Balai Polis Machang, dipercayai dimohon atas tujuan mengambil bekalan makanan haiwan ternakan di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdull Razak berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki terbabit kegiatan pengedaran daun ketum sejak setahun lalu dan sudah tiga kali mengambil bekalan di Kedah.

Malah, beliau berkata, suspek mengaku mengambil upah RM500 untuk membawa daun ketum, di mana bayaran RM250 dibuat sebelum perjalanan dan baki dibayar apabila bekalan sampai di Kota Bharu.

“Lelaki itu turut mengaku hanya terbabit mengambil daun ketum di Naka, manakala urusan lain termasuk harga jualannya ditentukan seorang lelaki di Kota Bharu.

“Dia turut memaklumkan, daun ketum terbabit dibeli pada harga RM10 sekilogram di Naka sebelum dijual pada harga antara RM40 hingga RM50 sekilogram di Kelantan,” katanya.

Abdull Razak berkata, siasatan lanjut juga mendapati lori dipandu suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek kini direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

“Saman turut dikeluarkan terhadap suspek kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut Peraturan 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.