RM12 juta dana tingkat kapasiti ujian COVID-19 Sarawak

33

24 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyalurkan RM12 juta kepada kerajaan negeri untuk menaik taraf fasiliti, peralatan dan makmal hospital kerajaan di Sarawak bagi meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19.

Selain itu, KKM menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM36 juta bagi meningkatkan peralatan rawatan, termasuk penambahan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sibu, Bintulu, Miri serta Limbang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata penambahan peruntukan berkenaan memboleh Sarawak meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19 sehingga 6,000 sampel sehari bagi mempercepatkan usaha Sarawak melandaikan lekuk jangkitan wabak berkenaan.

Sebelum ini, Dr Kui Hian berkata kemudahan dan fasiliti perubatan di Sarawak hanya mampu menerima 2,500 sampel ujian saringan COVID-19 sehari.

“Bagi meningkatkan keupayaan ujian saringan COVID-19, kerajaan Sarawak turut menyediakan peruntukan membantu pembiayaan makmal molekular kerajaan di Limbang dan Kapit.

“Dua hospital itu masing-masing menerima peruntukan RM1 juta daripada kerajaan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga melakukan bidaan untuk membantu meningkatkan kapasiti ujian dengan menyediakan dana bagi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kampus Bandar, Pusat Perubatan Borneo (BMC) dan Gribbles Pathology Malaysia.

“Melalui kerjasama antara institusi kesihatan awam dengan swasta, Sarawak akan dapat menjalankan lebih 6,000 ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) sehari bagi saringan COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.