PUNB tangguh bayaran prinsipal, beri diskaun sewa

69

24 JAN: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengumumkan pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal dan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus sewa premis perniagaan PUNB selama enam bulan mulai 1 Januari lalu hingga 30 Jun ini.

Langkah tersebut secara keseluruhan melibatkan kutipan berjumlah RM112.5 juta.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan proaktif PUNB itu adalah untuk membantu usahawan kekal berdaya tahan dan berdaya saing ketika pandemik COVID-19 masih menular di negara ini.

Beliau memberitahu, penangguhan pembayaran pembiayaan ini hanya terpakai ke atas prinsipal sahaja, manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan.

“Semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember 2020 secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Januari hingga Jun 2021 ini, dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 Rakan Usahawan PUNB melibatkan kutipan sebanyak RM110 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 226 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara, layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari ini, melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta, kata beliau.

“Saya berharap inisiatif yang diperkenalkan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Rakan Usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan PUNB kerana ramai daripada mereka masih dalam proses untuk pulih dan kembali berdaya saing,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai penangguhan pembayaran pembiayaan, Rakan Usahawan boleh menghubungi Pegawai Pemantauan yang telah ditugaskan melalui telefon atau e-mel masing-masing.

Untuk pertanyaan am, pegawai khidmat pelanggan boleh dihubungi di talian 1300 13 7862 atau talian am 03-2785 1515 atau e-mel ke [email protected].

Get real time updates directly on you device, subscribe now.