Nyawa rakyat lebih utama, bukan soal siapa jadi PM

430

24 JAN: Semua pihak terutama pemimpin politik perlu berhenti ‘berbalah’ tentang soal siapa mahu menjadi Perdana Menteri seterusnya kerana negara sekarang sedang menghadapi isu lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa seluruh rakyat Malaysia yang kini diancam penularan wabak COVID-19.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perbalahan soal siapa layak menjadi Perdana Menteri tidak sepatutnya timbul pada masa nyawa rakyat diancam bahaya.

Justeru, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang yang cuba mencari jalan untuk mendapatkan sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya menjadi Perdana Menteri sebagai suatu kerja mengarut.

“Perkara yang tidak sepatutnya kita buat pada masa sekarang adalah berbalah siapa mahu menjadi Perdana Menteri (seterusnya). Nak lantik siapa menjadi Perdana Menteri? Dalam suasana begini masih lagi nak mencari siapa ada undi majoriti di Parlimen?

“Ini semua kerja mengarut, tidak peka dengan wabak yang menimpa rakyat. Ini mesti ditolak dan dicegah. Apa sahaja yang boleh mengganggu proklamasi darurat ini, mesti ditangani dengan peraturan tegas,” katanya ketika berucap pada sesi webinar bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan?’ anjuran Gerakan Pembela Ummah, hari ini.

Berikutan itu, Abdul Hadi berkata kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu dan pemimpin politik yang terus mempertikaikan proklamasi darurat bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Ahli Parlimen Marang berkenaan menegaskan tindakan individu dan pemimpin politik berkenaan jelas menganggu usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19 dan memastikan taha keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, seramai 114 hingga 115 Ahli Parlimen bersetuju sidang Parlimen diadakan segera dengan tumpuan menyelesaikan masalah COVID-19 dan ekonomi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, jumlah itu dianggap sudah mencapai cukup majoriti untuk menolak usul kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksana darurat dan menggantung Parlimen daripada bersidang. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.