Majlis Presiden PN bincang isu darurat, COVID-19

166

24 JAN: Ordinan Darurat dan pengurusannya merupakan isu penting yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, mesyuarat itu turut membincangkan tentang pengurusan pandemik COVID-19 dan pelan imunisasi vaksin yang akan bermula bulan depan.

“Saya bersyukur bahawa mesyuarat yang berlangsung selama lebih kurang dua jam dalam suasana akrab dan muhibah telah menyambut baik taklimat mengenai Proklamasi Darurat dari Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhizan Ismail,” katanya melalui hantaran dalam laman Facebook rasminya malam ini.

Muhyiddin menambah, Majlis Presiden akan terus menjadi platfom perbincangan tertinggi bagi kesemua parti politik dalam kerajaan PN demi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran kerajaan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Mesyuarat yang diadakan secara dalam talian itu turut dihadiri Presiden-presiden dari UMNO, PAS, PBB, MCA, MIC, PRS, SUPP, PDP, PBS, STAR dan SAPP manakala PBRS diwakili Timbalan Presiden.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.