Kadar kematian COVID-19 semakin membimbangkan

247

24 JAN: Biarpun jumlah kes baharu harian positif COVID-19 dilaporkan menunjukkan trend penurunan kepada 3,346 kes hari ini berbanding 4,275 kes semalam, namun kadar kematian terus berada di tahap membimbangkan dengan 11 lagi mangsa maut akibat jangkitan wabak terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan 3,346 kes berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 183,801 kes termasuk 41,677 kes aktif dengan kebolehjangkitan.

“Daripada 3,346 kes baharu dilaporkan berkenaan 2,602 kes jangkitan membabit warganegara manakala 737 kes lagi warga asing. Kes import pula tujuh kes yang mana enam daripadanya adalah warganegara dan bakinya bukan warganegara.

“Sebanyak 3,339 kes daripada keseluruhan kes positif baharu merupakan penularan tempatan, yang mana 2,602 dalam kalangan Warganegara, manakala 737 pula bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 11 kematian dilaporkan di mana 10 daripadanya dalam kalangan warganegara dan seorang pula bukan warganegara sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 678 kes bersamaan 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes dari Sarawak, masing-masing dua kes dari Sabah, Terengganu dan Johor serta masing-masing satu kes dari Melaka dan Selangor.

“Kes kematian pada hari ini melibatkan 10 kes warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 4,427 kes dilaporkan pulih hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhannya iaitu 141,446 kes atau 77 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata seramai 265 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 102 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pad itu, Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal negeri tertinggi mencatatkan kes positif harian penularan COVID-19 dengan 950 kes baharu dicatatkan hari ini, diikuti Sabah (431) dan Kuala Lumpur (390).

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 805 kes (84.7 peratus) adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan; diikuti oleh Sabah sebanyak 431 kes (12.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 390 kes (11.7 peratus).

“Sebanyak 242 kes (7.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, lokap, dan depot tahanan yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (138 kes), Kluster Damai Pelangi (57 kes), Kluster Penjara Sungai Jelok (22 kes), Kluster Tembok Mempaga (9 kes), Kluster Tembok Taiping (6 kes), Kluster Tembok Renggam (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), Kluster Tembok Kemus (3 kes), dan Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes),” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.