8 kluster tempat kerja baharu, 1 kluster pusat tahanan

74

24 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sembilan kluster baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini termasuk masing-masing dua di Sabah dan Johor; satu di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak dan Negeri Sembilan sekali gus menjadikan jumlah 733 kluster dikesan setakat ini.

Tujuh kluster baharu berkenaan ialah Kluster Ladang Segama dan Jalan Segama di Sabah; Kluster Jalan Tengar dan Keluli Tujuh di Johor; Kluster Jalan Sebelas, di Selangor; Kluster Tapak Bina Sri Petaling di Kuala Lumpur; Kluster Bukit Emas di Negeri Sembilan; Kluster Tapak Bina Flora di Putrajaya dan Kluster Tembok Taiping di Perak.

Daripada sembilan kluster berkenaan, lapan kluster adalah membabitkan kluster tempat kerja dan hanya satu kluster Pusat Tahanan iaitu Kluster Tembok Penjara Taiping di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 733 kluster dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 385 kluster sudah tamat termasuk dua berakhir hari ini iaitu iaitu Kluster Semambu dan Kluster Keris Residence, manakala 348 kluster lagi masih aktif.

Beliau berkata jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 69 kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (138 kes), Kluster Pasai (136 kes), dan Kluster Tapak Bina Bukit Sebukor (89 kes).

Berikut adalah perincian sembilan kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini iaitu:

KLUSTER JALAN SEBELAS

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Januari 2021 hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan pekerja kilang di Seri Kembangan, Selangor. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kilang yang terletak di Jalan KPB 11A, Balakong. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 715 individu telah disaring, di mana 83 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER BUKIT EMAS

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban, Rembau, dan Jempol di Negeri Sembilan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-154224) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kes-kes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu di sebuah institusi awam yang terletak di Bukit Emas, Seremban. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 448 individu telah disaring, di mana 46 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER TAPAK BINA SRI PETALING

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Januari 2021 hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan tapak binaan yang terletak di Sri Petaling, Lembah Pantai. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 261 individu telah disaring, di mana 44 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER TEMBOK TAIPING

Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Larut, Matang, dan Selama di Perak. Kes indeks bagi kluster (iaitu kes ke-161008) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 18 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah pusat tahanan di Taiping, Perak. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 77 individu telah disaring, di mana 42 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER LADANG SEGAMA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah. Sebanyak enam (6) kes awal bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Januari 2021 hasil saringan tempat kerja. Nama kluster merujuk kepada lokaliti ladang tersebut iaitu di Mukim Segama, Lahad Datu. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 80 individu telah disaring, di mana 22 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER KELULI TUJUH

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Januari 2021 hasil saringan bersasar tempat kerja yang melibatkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Johor Bahru. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 91 individu telah disaring, di mana 21 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN SEGAMA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-166911) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 20 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat kerja kes-kes yang terletak di Jalan Segama, Lahad Datu. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 40 individu telah disaring, di mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER TAPAK BINA FLORA

Kluster tempat kerja ini melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Januari 2021 hasil saringan bersasar pekerja tapak binaan di Presint 11, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 58 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

KLUSTER JALAN TENGAR

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Januari 2021 hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan sebuah kilang di Jalan Tengar, Pasir Gudang. Sehingga 24 Januari 2021, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana lapan (8) kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.