Parti pandang serius isu dadah libatkan ahli

31

23 JAN: Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi satu kenyataan media dalam ciapannya di Twitter mengakui, suspek terlibat kes dadah itu adalah ahli Bersatu namun bukan pemimpin Armada sepertimana yang didakwa.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes tangkapan itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Parti melihat serius dengan tangkapan seorang ahli parti berkaitan kes dadah. Kita tidak sama sekali berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah berkaitan dadah. 

“Parti akur dan serahkan ke atas pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan ambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk mengaitkan kes penahanan seorang individu itu dengan partinya.

Beliau berkata, tingkah laku mana-mana ahli parti tidak melambangkan pendirian dan kelakuan parti.

“Parti tidak boleh mengawal tingkah laku semua ahlinya. Penguatkuasaan undang-undang (perlu) tidak mengira keahlian parti mana individu itu. 

“Parti tak terbabit dengan dadah, yang terbabit hanya beberapa individu sahaja. Berfikirlah secara rasional,” ujarnya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Beliau berkata demikian dalam mengulas mengenai isu penahanan yang dipercayai  seorang ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, berkait dakwaan memiliki dan mengedar dadah, Rabu lalu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, mendedahkan seorang ahli perniagaan yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Perak ditahan polis selepas disyaki mengedar dadah yang diproses sendiri di rumah.

Suspek yang pernah bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda sebuah parti politik tahun lalu itu ditahan polis dalam satu serbuan di Fraser Business Park, Pudu di sini, Rabu lalu.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.