KPM teliti pandangan semua pihak isu pembukaan sekolah

66

23 JAN : Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil kira keluhan, luahan, cadangan dan pandangan semua pihak, termasuk pelajar sendiri, ibubapa, guru-guru dalam isu pembukaan sekolah.

Menurutnya, beliau sendiri banyak menerima luahan dan pandangan daripada ibu bapa berhubung perkara tersebut.

“Kebelakangan ini, saya dan rakan-rakan sekerja termasuk YB Menteri Kanan menerima banyak pandangan, luahan dan cadangan daripada ibubapa mengenai isu pembukaan sekolah.

“Kami di KPM telah mengambil kira, pembukaan sekolah kepada semua murid dan guru akan mendedahkan anak-anak kita kepada ancaman jangkitan Covid.

“Kami juga mengambil kira luahan dan keluhan pelajar dan ibubapa, khususnya para pelajar yang bakal mengambil peperiksaan awam SPM dan STPM, bahawa penangguhan peperiksaan ini akan melambatkan dan menjejaskan lanjutan pembelajaran di Institut Pengajian Tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di dalam Facebook rasminya.

Jelasnya, walaupun ia merupakan satu dilema yang menyukarkan setelah mendengar luahan dan pendapat semua pihak, namun KPM perlu mengambil satu keputusan yang seimbang dalam isu pembukaan sekolah ini.

“Ada ibu bapa tidak sanggup menangguhkan lagi pembelajaran anak-anak yang bakal mengambil SPM & STPM, apatah lagi yang bersedia untuk melanjutkan Pelajaran ke IPT.

“Kita sedar, sebarang penangguhan akan terus melambatkan dan menjejaskan masa hadapan anak-anak kita.

“Justeru, untuk minimakan risiko, hanya pelajar-pelajar yang bakal mengambil peperiksaan SPM dan STPM perlu kembali ke Sekolah untuk penyediaan peperiksaan tersebut. Dengan ini, bilangan pelajar yang menghadiri sekolah hanyalah sekadar lebih kurang 20 peratus.

“Semua sekolah dikehendaki mematuhi SOP yang ketat, seperti pakai topeng muka dan penjarakkan sosial,” katanya lagi.

Selain itu menurut beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden MCA,  KPM juga telah  bekerjasama dengan RTM dan Media Prima untuk menyiarkan siaran pendidikan melalui TV Pendidikan secara percuma, dan juga stesen TV yang lain.

Jelasnya, inilah keputusan yang seimbang yang diambil KPM setelah mengambil kira keluhan, luahan, cadangan dan pandangan semua pihak, termasuk pelajar sendiri, ibubapa, guru-guru dan sebagainya.

“Saya tahu, keputusan ini mungkin tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak, namun, kami warga KPM percaya bahawa Ini adalah keputusan yang terbaik.

“Segala kebaikan, adalah kurniaan Tuhan, yang buruk, maka saya sudi menanggung, demi masa depan anak-anak kita, demi kebaikan untuk semua,”ujarnya.-Oleh Wan Hafiz Hamzah

Get real time updates directly on you device, subscribe now.