Tindakan ACP Nik Ezanee Selari Konsep Undang-Undang

41

22 JAN: Tindakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal tidak meneruskan kes terhadap seorang ibu yang ditahan kerana disyaki mencuri adalah selari dengan konsep undang-undang yang adil, saksama dan rahmah, 

Pengerusi IKRAM Legal, Marwan Abdullah berkata, perkara ini adalah wajar untuk seseorang rakyat itu untuk dikecualikan daripada hukuman sekiranya terdapat bukti-bukti menunjukkan kesalahan mencuri yang disyaki dilakukan itu kerana desakan kehidupan akibat kelaparan atau kebuluran.

”Hal ini juga adalah sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam yang mana Sayidina Umar al-Khattab RA, khalifah Islam kedua pernah bertindak menangguhkan pelaksanaan hukuman hudud disebabkan oleh musim kebuluran pada masa tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook IKRAM Legal, hari ini. 

IKRAM Legal turut menzahirkan rasa penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Nik Ezanee atas keprihatinan dan rasa simpati untuk tidak meneruskan kes terhadap ibu tersebut.

Ibu tersebut dikatakan telah mencuri kek pandan, sosej dan dua pek Cool Fever di sebuah pasar raya kelmarin untuk anak-anaknya yang sedang dalam kelaparan.

Dalam pada itu, Marwan memberitahu pihaknya menegaskan tindakan polis tersebut tidaklah memberi maksud bahawa seseorang itu adalah bebas untuk mencuri sekiranya lapar.

Sebaliknya, kesalahan tetap adalah kesalahan yang mana pihak polis perlu mengambil tindakan demi menjaga keamanan dan keselamatan negera.

“Namun, sekiranya selepas siasatan polis mendapati kesalahan yang dibuat tersebut  disebabkan oleh keperluan kehidupan yang amat mendesak, maka amat wajar untuk polis menggunakan budi bicaranya untuk tidak meneruskan dengan kes tersebut.

“Bukan itu sahaja, mereka juga wajar memberikan bantuan sewajarnya kepada orang yang disyaki atau orang yang ditahan tersebut atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Marwan mengharapkan agar semua pihak tanpa mengira pangkat, agama dan bangsa dapat mengambil contoh daripada peristiwa ini, sekali gus bersama ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara yang rahmah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.