RTM bakal lancar saluran khas PdPR

36

22 JAN : Satu saluran khas berbentuk pendidikan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran murid di rumah (PdPR) semasa dan pasca-COVID-19 akan dilancarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lama lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, RTM sememangnya sudah ada pengalaman dalam menyediakan TV Pendidikan sejak 1972 hingga 2008 dan pihaknya menjangkakan saluran baharu itu dapat disediakan pada sekurang-kurangnya pada suku pertama tahun ini.

“RTM sebenarnya sekarang ini pun sedang bersedia dan sudah pun membuat ujian saluran baharu. Isi kandungan dalam saluran televisyen itu akan disediakan oleh Kementerian Pendidikan.

“Semasa (pelaksanaan) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama juga kita ada kelas di rumah dua sesi iaitu dua jam pada waktu pagi dan dua jam pada waktu petang menggunakan saluran TV Okey,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) yang berlangsung secara maya, di sini hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.