Proses akad nikah hanya dibenarkan di pejabat Agama

41

22 JAN : Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hanya membenarkan proses akad nikah dijalankan di Pejabat Agama Islam Daerah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini sehingga 4 Februari.

Pengarahnya, Mohd Yusop Husin berkata, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya hendaklah menyediakan sebuah bilik khas bagi menjalankan majlis akad nikah dan proses nyah kuman hendaklah dilakukan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah bertanggungjawab memastikan perkara-perkara yang ditetapkan dipatuhi semasa majlis itu berlangsung.

“Majlis akad nikah yang dijalankan oleh jurunikah kariah berkenaan hendaklah dikawal selia oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya,”

“Perkara itu antaranya Rukun Nikah, membaca taklik selepas akad nikah, tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab kabul dan menjaga jarak satu meter setiap orang yang hadir.

“Selain itu, tiada sebarang upacara lain seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin, bergambar dan lain-lain dilakukan. Individu perlu memakai penutup muka dan pencuci tangan untuk keperluan pihak terlibat,” katanya dalam Arahan Tatacara Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Norma Baharu di Perak Versi 4.0 dikeluarkan di sini hari ini.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah menurut beliau lagi, hanya dibenarkan melaksanakan sebanyak 15 majlis akad nikah dalam sehari mengikut jadual masa yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Daerah berkenaan dengan tempoh pelaksanaan tidak melebihi 30 minit.

“Majlis boleh dihadiri oleh seorang jurunikah, dua saksi, seorang pengantin lelaki dan seorang pengantin perempuan, seorang wali daripada pihak perempuan, ibu bapa pengantin lelaki, ibu pengantin perempuan dan seorang jurugambar.

“Majlis hendaklah dibatalkan oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah sekiranya Tatacara Versi 4.0 tidak dipatuhi atau ada arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Perak,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.