PKPD Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas

29

22 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian mulai esok hingga 5 Februari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 360 ujian saringan.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 177 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada staf, keluarga serta komuniti luar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri menambah, polis menahan seramai 660 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 621 individu dikompaun manakala 39 orang lagi direman.

“Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (228), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakan fizikal (96), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98),” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, pasukan keselamatan telah menahan seramai 24 pendatang asing tanpa izin dan merampas 17 kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

“Dalam operasi itu juga, turut dikesan 113 bot/kapal berada di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya.

Menurut beliau, penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat 52 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara, semalam.

Ismail Sabri berkata, hasil pemeriksaan mendapati, hanya 50 tapak binaan beroperasi manakala dua lagi tidak beroperasi.

“Dalam pemeriksaan itu, CIDB mendapati 45 tapak binaan mematuhi SOP, tiga tapak tidak patuh SOP manakala dua lagi diarahkan tutup,” ujarnya.

Beliau menambah, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,515 pemeriksaan khas Pematuhan SOP.

“Daripada jumlah itu, 1,496 premis mematuhi SOP, lapan premis diberi nasihat, lapan lagi premis dikenakan amaran manakala tiga premis dikompaun atas sebab ingkar SOP,” jelasnya.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 5,819 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 84 orang disahkan positif. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.