Pemimpin politik mesti junjung titah Agong

82

22 JUN: Semua pihak terutamanya pemimpin politik hendaklah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mewujudkan suasana lebih harmonis ketika menghadapi pandemik COVID-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ini merupakan harapan tinggi istana agar tidak mengeruhkan suasana memandangkan wabak semakin menular sekarang.

“PN Melaka menjunjung kasih titah Seri Paduka yang telah memberi perkenan pengisytiharan proklamasi darurat di seluruh negara.

“PN Melaka berharap agar semua pihak tidak mempertikaikan dan dapat menghormati kebijaksanaan serta keputusan yang telah dibuat oleh Seri Paduka demi kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia yang tercinta,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rafiq memberitahu, PN Melaka turut mengambil inisiatif melancarkan Program Bantuan Food Bank Prihatin Melaka (FBPM) bagi membantu rakyat di negeri itu yang terjejas serta kehilangan punca pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menurut beliau, untuk permulaan, pihaknya akan mengedarkan 1,000 kit makanan bernilai RM50,000 kepada rakyat di negeri itu yang kehilangan kerja dan punca pendapatan sepenuhnya.

“FBPM akan mengumpulkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang ramai yang ingin menyumbang kepada program ini dalam bentuk keperluan makanan asas.

“Proses kelulusan permohonan akan dijalankan secara berperingkat berdasarkan kemampuan dan jumlah sumbangan yang diterima. Mekanisme permohonan akan diuar-uarkan melalui laman Facebook rasmi PN Melaka,” katanya.

PN Melaka juga telah mengambil ketetapan menubuhkan Jawatankuasa PN Melaka bagi memastikan usaha menggerakkan program-program membela dan memperkasakan rakyat di negeri itu dapat direalisasikan.

Perikatan Nasional Melaka

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Mohd Rafiq sebagai Pengerusi manakala Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek sebagai Naib Pengerusi.

Sementara itu, Mohd Rafiq menambah, pihaknya turut menyambut baik insentif Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diyakini mampu memelihara kesejahteraan rakyat dan turut akan merangsang ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.