Mustapa sembuh COVID-19 selepas kuarantin 12 hari

31

21 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dibenarkan pulang ke rumah semalam, selepas menerima rawatan dan dikuarantin selama 12 hari di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.

Berikutan itu Ahli Parlimen Jeli berkenaan menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang menjaga dan merawatnya sepanjang berada di wad HRPZ II.

Bagaimanapun, Mustapa berkata, beliau dinasihatkan oleh doktor bertugas supaya banyak berehat, mengurangkan kerja dan tidak boleh bertemu orang ramai buat sementara waktu.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada jam 4.30 petang ini saya dibenarkan keluar hospital.

“Dalam tempoh 12 hari di hospital, sudah pasti yang paling mencemaskan ialah semasa 3 hari di ICU, apabila ada sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.

“Namun dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat, serta keyakinan penuh kepada ketentuan Allah SWT, Alhamdulillah saya beransur pulih.

“Sekarang saya perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang.

“Selain itu, pelitup muka, pembersih tangan, penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka perlu menjadi amalan kita semua sepanjang masa sehingga pandemik ini benar-benar pulih.

“Pengajaran: pandemik ini ketentuan Allah SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya.

Beliau disahkan positif COVID-19 pada 9 Januari selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.