Jangan politikkan bantuan kerajaan kepada rakyat

33

22 JAN :  Pakatan pembangkang Sarawak dibidas ekoran mengaitkan pakej kelima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 5.0) berjumlah RM405 juta sebagai bantuan sebelum pilihan raya negeri.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Senator Jaziri Alkaf A.Suffian berkata,  pihak pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan usaha murni kerajaan negeri melalui BKSS 5.0 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

“Ia sangat membantu di saat rakyat Sarawak terbeban dengan musibah dan kesusahan akibat pandemik COVID-19 dan banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Adalah tidak matang untuk ahli politik membebankan mereka dengan dakwaan yang tidak benar serta mengelirukan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menurutnya hari ini.

Tambahnya lagi, bantuan kepada rakyat di negeri itu adalah tepat pada masanya di samping dapat membela peniaga kecil dan sederhana dalam memastikan perniagaan masih dapat dipertahankan serta pekerjaan dapat diteruskan walaupun berdepan keadaan ekonomi yang sedikit terjejas.

“Inisiatif dan usaha kerajaan negeri bukan sahaja membantu rakyat malah meringankan beban para peniaga yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan banjir yang melanda sebahagian Sarawak baru-baru ini melalui 11 bantuan yang diumumkan oleh Abang Johari bagi membantu rakyat,”jelasnya.

Semasa mengumumkan BKSS 5.0 itu, Abang Johari berkata bantuan khas tersebut akan disalurkan menerusi 11 langkah yang melibatkan pemberian diskaun, pengecualian dan penangguhan pembayaran lesen, premium tanah serta pinjaman industri kecil dan sederhana.

BKSS 5.0 melibatkan pemberian diskaun bil elektrik dan air secara bulanan, sewa pasar dan gerai, taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400, sewa kediaman di bawah Skim Perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) serta pembayaran cukai tanah.

Selain itu, pengecualian pembayaran lesen hotel dan rumah tumpangan, bayaran permit dan lesen perniagaan diberikan kepada peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan selain bayaran sewa kepada pengusaha kecil dan sederhana di premis perniagaan milik badan berkanun dan syarikat milik kerajaan negeri.

Bantuan juga diberikan dari segi penangguhan pembayaran premium tanah bagi tahun ini selain penangguhan pembayaran balik Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) negeri itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.