3,631 kes baharu, angka kematian terus meningkat

27

22 JAN :  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan kes harian sebanyak 3,631 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 176,180 kes, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 42,814 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import melibatkan dua warganegara dan empat bukan warganegara,  manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,625 kes.

Jelas Noor Hisham, bagi kes penularan di dalam negara, 2,982 kes adalah warganegara Malaysia manakala 643 kes adalah bukan warganegara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 782 kes (21.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 574 kes (73.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 466 kes (12.8 peratus), dan Sabah sebanyak 453 kes (12.5 peratus).

“Sebanyak 89 kes (2.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (51 kes), Kluster Tembok Mempaga (15 kes), Kluster Tembok Nanas (12 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (5 kes), Kluster Tembok Renggam (4 kes), dan Kluster Tembok Kemus (2 kes),” ujarnya menerusi satu kenyataan media harian COVID-19 hari ini.

Sementara itu kata Noor Hisham lagi, jumlah bilangan kes sembuh hari ini ialah sebanyak 2,554 kes menjadikan jumlah kes sembuh adalah sebanyak 132,706 kes.

“Bilangan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah sebanyak 251 kes dan daripada jumlah tersebut sebanyak 102 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes kematian pada hari ini melibatkan sembilan kes dari Selangor, tiga kes dari Sabah, dua kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kes dari Sarawak dan masing-masing satu kes dari Johor dan Pulau Pinang.

“Kes kematian pada hari ini melibatkan 17 kes warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.