Proklamasi Darurat muktamad, tak boleh dicabar

347

21 JAN: Segala tindakan oleh mana-mana pihak untuk mencabar Proklamasi Darurat serta Ordinan Darurat di mahkamah adalah tidak wajar mengikut prinsip pemisahan kuasa.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata, semua pihak tidak boleh mempersoalkan atas apa dasar sekali pun untuk mencabar Proklamasi Darurat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong di mana-mana mahkamah.

Menurut beliau, ini kerana darurat dan ordinan itu dengan jelas diperuntukan di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

AIZAT AZAM
MUHAMAD NUR AIZAT NUR AZAM

“Pihak ini seharusnya memahami terlebih dahulu tujuan undang-undang darurat wujud serta paling penting pada waktu dan ketika ini sebarang tindakan dengan tujuan bersifat politik semata-mata harus dihentikan.

“Mereka sepatutnya memberikan tumpuan dan kerjasama sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan agar negara dapat menghadapi gelombang pandemik COVID-19 yang amat membimbangkan ini dengan baik,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Nur Aizat memberitahu secara jelas, peruntukan di bawah Perkara 150 (8) menyatakan, walau apa pun, apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Beliau berkata, perkara 150 (8) juga menyatakan, tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahannya.

“Sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1) ialah kuat kuasa berterusan proklamasi itu; mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) atau penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

“Saya berpandangan sedemikian kerana sebarang cabaran terhadap nasihat yang diberikan oleh Jemaah Kabinet atau Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong secara efektifnya dan secara tidak langsung adalah suatu cabaran terhadap kesahihan Proklamasi Darurat tersebut dan ordinan tersebut.

“Perkara itu tidak dibenarkan oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan iaitu suatu ‘ouster clause’ di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan di mana mahkamah hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan tindakan undang-undang bagi mencabar nasihat yang diberikan oleh Kabinet atau Perdana Menteri kepada baginda sekiranya ouster clause tersebut didapati tidak sah oleh mahkamah, “katanya.

Sementara itu, ouster clause dari segi undang-undang adalah sah dan berperlembagaan serta sebarang tindakan yang bercanggah dengannya tidak boleh berdiri di sisi undang-undang.

“Saya berpandangan bahawa ouster clause tersebut adalah konsisten dengan prinsip pemisahan kuasa, di mana institusi kehakiman adalah dihalang daripada campur tangan dalam sebarang tindakan eksekutif yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Institusi kehakiman sememangnya adalah institusi yang bebas dan hanya mempunyai bidang kuasa sepertimana yang diperuntukan oleh undang-undang.

“Sekiranya segala nasihat eksekutif terutama nasihat Kabinet yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk kewajaran dan proportionality nasihat itu boleh dicabar dan dipersoal di mahkamah, maka eksekutif atau sesebuah kerajaan tidak boleh berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, ini juga akan menyebabkan satu situasi ‘floodgate’, yang mana cabaran terhadap setiap nasihat eksekutif di bawah Perlembagaan Persekutuan boleh dibawa dan dipersoalkan di mahkamah.

“Prinsip peraturan undang-undang yang mesti ditegakkan juga termasuk menghormati undang-undang sedia ada pada setiap masa material dan bertindak mengikuti undang-undang yang sedia ada,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.