PKP: Lanjutkan operasi restoran hingga 10 malam

34

21 JAN: Kerajaan disarankan supaya mengkaji cadangan melanjutkan waktu operasi restoran dan kedai makan yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga jam 10 malam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana syarat penutupan operasi restoran dan kedai makan seawal jam 8 malam telah menyukarkan orang ramai.

Menurut beliau, jika waktu operasi bagi sektor ekonomi itu diberi kelonggaran, ia akan memberi pelbagai kesan positif kepada pelbagai pihak ketika menghadapi perintah PKP.

MAHDZIR KHALID
MAHDZIR KHALID

“Penutupan restoran dan kedai makan seawal jam 8 malam menyebabkan orang ramai terutama yang baru pulang dari bekerja, tidak sempat untuk membeli juadah makan malam.

“Saya berpandangan bahawa ada kewajaran untuk kerajaan mengkaji semula syarat itu yang sememangnya agak menyukarkan banyak pihak. Saya memahami bahawa ketika ini peningkatan kes-kes COVID-19 amat membimbangkan.

“Tetapi saya yakin bahawa dengan pematuhan SOP yang ketat oleh semua pihak, kita dapat mengelakkan restoran dan kedai makan menjadi kluster jangkitan COVID-19 kerana mereka hanya menjual secara tempahan dan dihantar oleh pekerja penghantaran,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap memberitahu, pendapatan bagi pekerja penghantaran juga susut mendadak disebabkan kekurangan tempahan yang diterima daripada pelanggan yang tidak sempat membeli makanan.

“Ini juga berkait dengan ekonomi rakyat, pembekal bahan mentah makanan, peniaga, pemilik restoran dan kedai makan terjejas, pendapatan pekerja penghantaran terjejas.

“Kerana bagi saya waktu antara 8 malam hingga 10 malam itu merupakan waktu perdana bagi orang ramai untuk mendapatkan makanan bagi makan malam mereka,” katanya.

Tambah beliau, kelonggaran tambahan had waktu operasi selama dua jam itu akan memberi impak yang besar kepada rantaian ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Berilah sedikit pertimbangan untuk membolehkan mereka membuka restoran dan kedai makan sehingga jam 10 malam.

“Saya dengar ramai sangat yang merungut dan mahukan kelonggaran diberikan. Ini soal kelangsungan hidup semua pihak dalam keadaan serba sukar sekarang ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.