Pahang beri bantuan segera pasca banjir

56

21 JAN: Kerajaan Negeri Pahang bersetuju melaksanakan beberapa bantuan segera bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Inisiatif ini telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju menyediakan sejumlah peruntukan untuk tempoh masa tertentu kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang perlu menyewa rumah lain akibat kehilangan rumah mereka sepenuhnya (total lost) akibat banjir.

“Pemberian rebat akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk bulan Januari 2021.

“Bagi rumah yang kehilangan sepenuhnya (total lost), rebat penuh kegunaan air diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terbabit untuk bulan-bulan Januari dan Februari 2021. 

“Kerajaan Negeri Pahang juga dalam pertimbangan untuk memberi sumbangan ‘one-off’ pada kadar tertentu kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dengan Pusat-pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook miliknya, hari ini. 

Tambah beliau para penyewa di gerai-gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terkesan banjir akan diberikan pengecualian sewa untuk bulan Januari. 

“Pengecualian sewa gerai-gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk satu tempoh sehingga gerai-gerai terbabit dipulihkan sepenuhnya bagi gerai-gerai yang mengalami rosak teruk akibat banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pejabat-pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dikehendaki mengemas-kinikan maklumat terperinci tentang mangsa-mangsa banjir termasuk jenis kerosakan rumah dialami. 

“Ini bagi tujuan penyaluran bantuan susulan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), serta sumbangan Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah (PDT) akan menyelaraskan usaha mengesan rumah-rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan kerja-kerja penyelenggaraan pendawain elektrik yang rosak akibat banjir,” katanya. 

Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, Mesyuarat MMK Negeri juga bersetuju untuk mewujudkan Pusat Penempatan Serbaguna (PPS) secara kekal bagi penempatan mangsa-mangsa banjir terutamanya di daerah-daerah terkesan teruk. 

“PPS ini akan terbuka kepada kegunaan aktiviti lain semasa di luar musim banjir. Dengan bantuan-bantuan yang dicadangkan ini setakat ini, diharap ia adalah memadai 

“Ini demi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini, InshaAllah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.