Kilang buang sisa ayam dalam pembentung IWK

69

21 JAN: Gara-gara sengaja dan mengambil jalan mudah dengan membuang sisa pemprosesan ayam atau efluen terlarang ke dalam sistem pembentungan, pemilik sebuah kilang di di Kapar, Klang, Selangor, mungkin berdepan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Perbuatan licik dan keji kilang pemprosesan ayam itu terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerima aduan daripada Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

Berikutan itu Bahagian Penguatkuasaan SPAN melakukan serbuan mengejut ke atas kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Deluxe bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut.

“SPAN melakukan pemeriksaaan mengejut selepas menerima aduan daripada pihak IWK bahawa terdapat kemasukan efluen terlarang ke dalam loji rawatan kumbahan awam oleh sebuah premis memproses ayam bertempat di Kawasan Perindustrian Deluse, Kapar, Klang.

“Premis ini disyaki membuang sisa pemprosesan ayam ke dalam sistem pembetungan dan seterusnya masuk ke loji rawatan kumbahan awam,” kata SPAN melalui satu kenyataan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu melibatkan pihak SPAN dan IWK ini adalah isyarat jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang disyaki melepaskan sebarang efluen terlarang ke dalam lurang pembetungan awam yang mana akan memberi impak kepada sistem rawatan kumbahan awam dan juga alam sekitar.

“Perbuatan melepaskan atau membuang sebarang efluen terlarang ke dalam sistem pembetungan awam boleh disiasat di bawah Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sebarang aduan atau maklumat berkenaan pencemaran para pengguna boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau emel [email protected],” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.