Tajuddin Abdul Rahman sah positif COVID-19

76

20 JAN: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, hari ini mengesahkan dirinya positif COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin.

Dalam satu kenyataan di Facebook beliau pagi ini, Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) itu memaklumkan bahawa beliau disahkan positif selepas menjalani ujian saringan COVID-19 semalam.

“Pada mereka yang mempunyai kontak rapat dengannya, eloklah melakukan ujian saringan COVID-19.

“Tajuddin memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan beliau,” jelas hantaran Facebook tersebut, hari ini.

Sementara itu, seluruh ibu pejabat korporat Kumpulan Prasarana, di Menara UOA, Bangsar turut dilakukan pembersihan komprehensif ‘deep decontamination’ dan sanitasi untuk pada petang Isnin, kata Prasarana melalui satu kenyataan hari ini.

Tajuddin hadir ke pejabat pada pagi Isnin (18 Jan) untuk satu mesyuarat dengan beberapa pegawai kanan dan satu mesyuarat pada pagi semalam, namun terus ke hospital untuk ujian sejurus mengetahui Datuk Sri Nazri Aziz positif COVID-19, kata kenyataan itu lagi.

Pegawai dan kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menjadi kontak rapat Kategori B kepada Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diarahkan mengambil ujian swab COVID-19,hari ini.

Menurut kenyataan itu, petugas yang tergolong dalam kontak rapat kategori C pula dikehendaki menjalani proses kuarantin kendiri di rumah serta-merta selama sepuluh hari sehingga 29 Jan atau sehingga individu Kategori B didapati negatif.

Satu lagi proses sanitasi dan ‘deep decontamination’ tambahan akan dijalankan hari ini berikutan perkembangan terbaharu itu, menurut  kenyataan itu.

Prasarana turut memaklumkan pejabatnya beroperasi seperti biasa namun mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, melibatkan hanya 30 peratus petugas daripada Bahagian Pengurusan dibenarkan hadir, manakala petugas lain diarahkan bekerja dari rumah sehingga tamat arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Difahamkan Tajuddin menjadi kontak rapat kepada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang turut disahkan positif COVID-19 dan kini menjalani kuarantin di hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Kedua-dua mereka hadir sidang media oleh Mohamed Nazri, pada 11 Januari lalu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beberapa ahli politik termasuk menteri Kabinet juga sebelum ini disahkan positif COVID-19 san sedang menjalani kuarantin.

Ini termasuk Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun serta Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Mohamed Nazri. –Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.