Setiausaha PKR Cabang Kampar umum keluar parti

163

19 JAN : Setiausaha Cabang PKR Kampar, Sharul Baha Abd. Rahman hari ini mengumumkan keluar parti dan menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa hari ini.

Sharul mengambil keputusan tersebut kerana merasakan parti itu telah gagal memberi manfaat yang sewajarnya kepada rakyat pada waktu ini.

“PKR juga seolah-olah telah hilang hala tuju dan tidak mempunyai taringnya lagi terutamanya dalam menangani Covid-19 serta tiada misi yang jelas di dalam usaha untuk memacu semula ekonomi negara.

“Semua usaha yang dibuat oleh beberapa pihak terutamanya di dalam parti pembangkang saya lihat telah gagal sama sekali dan saya hilang kepercayaan bahawa pemimpin-pemimpin PKR yang sedia ada hari ini mampu untuk mengembalikan kestabilan politik dan meningkatkan ekonomi negara.

“Faktor itu membuatkan saya terfikir untuk mengambil tindakan ini dan membebaskan diri saya daripada perasaan serba salah,” ujarnya dalam satu sidang media hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan terus berbakti kepada rakyat melalui NGO yang ditubuhkannya sejak April 2016 iaitu Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) serta membantu rakyat meningkatkan ekonomi rakyat melalui Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak (Kopubi).

“Saya akan terus berbakti kepada rakyat melalui NGO yang saya tubuhkan sejak April 2016 iaitu Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) serta membantu rakyat meningkatkan ekonomi rakyat melalui Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak (Kopubi).

“Saya mahu memberi tumpuan penuh kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkannya sebelum ini seterusnya menjadi seorang yang bebas daripada politik,” katanya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.