Rina Harun disahkan pulih, dibenarkan pulang ke rumah

72

20 JAN : Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan ibunya disahkan pulih daripada jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Beliau dan ibunya telah dibenarkan pulang setelah menjalani rawatan dan kuarantin di Hospital Sungai Buloh mengikut tempoh yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Alhamdulillah, saya dan ibu kesayangan saya telah sembuh dari jangkitan COVID-19. Hari ini saya dan ibu saya yang turut terkena jangkitan selepas saya, telah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani rawatan dan tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

“Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah mengutuskan doa agar saya dan ibu saya segera sembuh, dan memberikan kata-kata semangat buat saya dalam berdepan dengan ujian ini,” ujarnya menerusi satu kenyataan di facebook rasmi milik beliau hari ini.

Beliau juga meluahkan rasa penghargaan kepada barisan petugas kesihatan dan kakitangan Sungai Buloh yang memberikan layanan yang baik sepanjang beliau berada di sana.

“Tidak akan saya lupakan setiap titik keringat dan jerih payah para petugas barisan hadapan, terutamanya para pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Sungai Buloh yang telah memberikan saya layanan yang sempurna dan mesra sepanjang saya menerima rawatan di hospital tersebut.

“Jasa dan pengorbanan kalian tidak akan dilupakan dan tidak mampu dibalas melainkan utusan doa agar semua petugas barisan hadapan terus dilindungi dalam menyempurnakan tugas dan khidmatnya menyantuni para pesakit.

“Akhir kata, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang saya kasihi, jagalah diri, patuhi SOP, agar setiap dari kita terus dilindungi,”ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.