Prosiding kes jenayah di negeri PKP tetap diteruskan

19

20 JAN : Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, hari ini mengeluarkan arahan bahawa semua prosiding kes jenayah termasuk kes kepentingan awam akan terus dijalankan di mahkamah terbuka di negeri yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 27 Januari ini.

Salinan arahan itutersebut diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Penguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah.

Menurut arahan itu, antara kes jenayah yang akan diberikan keutamaan ialah kes-kes pra-2020 dengan memberikan keutamaan kepada kes sambung bicara, kes membabitkan pesalah kanak-kanak dan kes kepentingan awam.

Kes kepentingan awam merangkumi kes rasuah, jenayah komersial, alam sekitar, Habeas Corpus, keganasan rumah tangga, pelanggaran peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mahkamah juga akan memberikan keutamaan kepada mana-mana kes yang dipohon oleh pihak-pihak untuk dijalankan atas sebab-sebab yang khas dan hal keadaan tertentu.

Walau apa pun, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan mana-mana kes yang akan dijalankan di mahkamah terbuka semasa pelaksanaan PKP di semua negeri kecuali Sarawak berada di bawah PKP Pemulihan (PKPP).

Mengikut arahan itu, semua pendengaran permohonan dalam kamar bagi kes jenayah perlu dibuat di mahkamah terbuka atau melalui teknologi komunikasi secara maya.

Dalam satu hari, sebanyak tiga sesi perbicaraan akan diadakan dengan tempoh maksimum selama 90 minit bagi setiap sesi perbicaraan dan semua prosiding hendaklah dijalankan hingga selesai.

Sebelum prosiding dijalankan, mahkamah perlu memastikan tiada seorang pun dibenarkan hadir ke prosiding di mahkamah terbuka kecuali tertuduh dan dua ahli keluarga atau kawan, seorang timbalan pendakwa raya atau bilangan yang dibenarkan mahkamah, seoang peguam atau bilangan yang dibenarkan oleh mahkamah serta saksi kes.

Sementara itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam satu kenyataan, berkata arahan Ketua Hakim Negara dibuat menurut kuasa beliau di bawah Seksyen 16A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 3A Akta Mahkamah Rendah 1948 yang diubah suai melalui Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019.

Bagi memastikan proses pentadbiran keadilan berjalan dalam keadaan teratur dan selamat, katanya, prosedur operasi standard (SOP) Wabak COVID-19 dikeluarkan bagi pengguna mahkamah dan akan berkuat kuasa 27 Januari ini.

Pengguna mahkamah perlu mematuhi SOP, antaranya, penjarakan fizikal, mengimbas kod QR aplikasi MYSejahtera sebelum memasuki premis mahkamah serta dilarang berjumpa dengan tertuduh di dalam reman kecuali di mahkamah terbuka.

Selain itu, orang ramai yang tidak mempunyai sebaran urusan adalah dilarang untuk hadir di mahkamah.

Mengenai liputan media bagi kes kepentingan awam, katanya, mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bilik bagi siaran langsung dengan pematuhan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penggunaan pensanitasi tangan atau menyediakan kemudahan liputan media melalui aplikasi Zoom.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.